Quantcast
Channel: PUDIN TTG
Viewing all 227 articles
Browse latest View live

Bukit Tiang Layar: Menjejaki Denai Lama (Revisited)

$
0
0

Tarikh : 14 Mac 2015
Lokasi : Gugusan Bukit Tiang Layar,
Jarak : 10.6 km  
Rider : 4 orang – Pudin, Adi Hariman, Art TTBC & Zam 
Coordinate :

Gugusan Bukit Tiang Layar terletak antara Gugusan Bukit Payung dan Gugusan Bukit Kerong. Disebelah utaranya adalah kawasan hutan Simpanan Bukit Perangin. Ia terletak dalam Daerah Kubang Pasu. Terdapat beberapa puncak di dalam gugusan bukit ini dan Bukit Tiang Layar adalah yang tertinggi.

Misiku hari ini adalah untuk menilai semula laluan lama yang pernah aku jelajahi dahulu (KLIK). Kami meletak kereta di satu kawasan lapang di kampung Batu Gajah dan memulakan kayuhan dari situ pada jam 8.20 pagi. Kalau dahulu kawasan ini kelihatan cerah dan masih ada tumbuhan renek. Kini pokok-pokok getah mula membesar. Sukar untuk mengecam kawasan yang kami lalu dahulu. Tambahan pula beberapa tempat sudah semak ditumbuhi  dengan samun yang meninggi. Aku menggagahi meredah samun ini sambil menebas semak dan anak-anak kayu namun dihujung sana, semak semakin menebal. Ada tempat, laluan terhakis teruk dengan alur air yang dalam dan runtuhan tanah berlaku. Ini menyebabkan aku mengambil keputusan untuk berpatah balik dan mencari jalan pilihan yang kami ternampak dari atas tadi. Laluan ini juga membawa kami ke sebuah bukit namun tidak dapat bersambung dengan bukit bersebelahan (Bukit Tiang Layar)  kerana laluan yang semak. Lalu kami terpaksa berpatah balik ke kereta. Satu keputusan yang bijak kerana aku mula keletihan. Aku masih belum pulih sepenuhnya dari demam yang aku alami setelah balik dari Indonesia baru-baru ini.

Insyaalah dari pemerhatian kami dari puncak ada beberapa laluan lagi yang boleh kami ikuti.

di belakang sana Bukit Kerong

Membelah batuan

Membuka jalan menebas hutan

Redup - Memasuki denai yang merimbun

Berpatah balik

Kawasan tanaman semula getah


Gunung Jerai : Melancarkan Denai Terpendam

$
0
0

Tarikh : 21 Mac 2015
Lokasi : Gunung Jerai , Kedah Darul Aman
Jarak : 35 km
Coordinate : N5° 45.130' E100° 22.144'

Trek mengelilingi Gunung Jerai ini pernah di terokai oleh sdr Abdul Shukur sekitar tahun 2005/2006. Ada beberapa trek yang telah diterokanya pada masa tersebut. Beliau pernah membawa beberapa group menelusuri trek ini.

Saudara Abdul Shukur adalah salah seorang sahabat lamaku. Kami pernah sama-sama bergiat di dalam Persatuan Rekreasi Kedah (ReKe) suatu ketika dahulu (awal 90an). Beliau berpeluang mendaki dan menjelajah beberapa gunung terutama gunung Jerai berbanding aku yang terpaksa melupakan aktiviti ini atas komitmen keluarga.

Baru-baru ini beliau telah memasuki sebahagian trek ini dengan group pacuan 4 roda. Ini menyebabkan keinginannya untuk meneroka semula trek ini meluap-luap. Sehubungan dengan itu beliau telah mengajak aku untuk mencari semula trek ini.

Hari ini aku, Art TTBC dan Abdul Shukor Asja (Kort) memulakan kayuhan dari kediaman Kort di  Kampung Titi Serong, Yan, Kedah. Menelusuri laluan bendang, memasuki kawasan hutan getah, merentas ladang kelapa sawit dan dusun, menikmati segarnya bayu laut di laluan tepian pantai. Cabaran sebenar bermula di kawasan Tanjung Jaga dimana kami mendaki bukit yang agak mencanak sejauh ±2km. Dilaluan ini tenaga dikerah, penat tak terkira, keringat membasahi baju, beberapa kali aku berhenti menarik nafas, melepas lelah sambil mengumpul semula tenaga untuk sampai ke puncak. Sampai dipuncak pada ketinggian 255 meter, kami berehat seketika, membuka bekalan sambil menghilang dahaga. Dari sini habuan menanti setelah penat mendaki, lebih 4 km penurunan yang menerujakan. Terpaksa berpatah balik setelah basikalku beberapa kali pancit. Kami tiba kembali ke tempat permulaan pada jam 4.15 petang ( Fuhhh!.. 8 jam perjalanan .. nasib baik bawa bekalan makanan)

Sesungguhnya kayuhan hari ini telah membuka semula laluan lama yang tertutup ( kami meredah sambil menebas). Ada lagi fasa seterusnya untuk diterjah bagi melengkapkan jalinan kayuhan sejauh lebih dari 65 km yang mengelilingi Gunung Jerai dengan melalui pelbagai pola mukabumi dan lanskap tanaman. INSYAALLAH

laluan terhakis dek air hujan

Kawasan hutan renek

semak semakin meninggi – tersasar beberapa kali  dan terpaksa menebas sebahagian laluan

melintas parit yang dalam

Kawasan pantai

Meredah melepasi halangan di tanah persendirian

Kawasan yang terbakar atau dibakar ? Sayang sekali

Kelab Rider Utara: Kayuhan Ukhwah Edisi Jerai

$
0
0

Tarikh : 11hb April 2015 (Sabtu)
Masa  : 7.00 pagi – 12.00 tgh
Mula   : Medan Selera Perwaja, Gurun,Kedah
Rider  : 260 orang
Jarak  : 31 km
Coordinate: N5° 46.616' E100° 29.762'

Kayuhan Ukhwah ini adalah anjuran bersama Kelab Rider Utara, BO'I Club, Steel Rider Club dan Gerek Hutan Jerai Club. Satu konsep kayuhan Jamboree sebenar yang bertujuan memupuk perpaduan dan eratkan silaturahim sambil beriadah.

Dengan penyertaan yang dihadkan kepada ± 260 orang menjadikan ia bagaikan satu mini Jamboree yang berjaya. Bayaran penyertaan sebanyak RM10.00 sahaja namun hasil yang diperolehi amat memuaskan. Pengurusan acara yang baik. Ada kawalan Trafik, penanda yang sempurna, mashall, feeding point bahkan medal turut diberikan bak acara besar yang dianjurkan.

Beberapa tahun lalu, aku pernah berkayuh di trek ini dan kemuncaknya ialah semasa Jerai Mountainbike Jamboree (JMJ) pada 16 Januari 2012. JMJ ini pernah dinobatkan sebagai Jamboree paling berjaya pada waktu tersebut.

Kayuhan hari ini mengimbau kembali nostalgiaku berkayuh di sini yang melalui kawasan ladang getah di Permaipura dan Sungai Puntar. Laluan ala ‘rollercoster’, sambil mendaki teres-teres getah dan menuruni bukit yang berbatu lada. Beberapa bukit masih segar diingatanku  seperti Bukit Cikgu Din, Bukit Kapak, Bukit Judi dan beberapa lagi yang ada keistimewaan dan ceritanya tersendiri.

Pada keseluruhannya laluan ini masih mengekalkan daya tarikannya. Diadun dengan laluan offroad yang panjang dan permulaan dan pengakhiran sedikit tarmac. Laluan direncah di kawasan perkebunan getah dan kelapa sawit. Dihidangkan dengan pendakian yang secukup rasa dan downhill yang boleh meransang selera. Ditambah dengan redupnya laluan dibawah naungan pepohon getah dan hujan semalam menjadikan laluan selesa dan pastinya ia menambah selera.

Insyaallah beberapa siri konsep kayuhan sebegini akan dilaksanakan oleh pihak KRU di lain hari, di lain lokasi.

Lagi gambar di FACEBOOK (KLIK)

Bersama x-PMC .. kini Steel Rider (Halim, Yusri ….)

Perlepasan pada jam 8:00 pagi oleh saudara Anuar SP

P4110282

Permulaan kayuhan di jalanraya

Memasuki kawasan offroad

Qamar dengan basikal yang dimenanginya di UUM?

Art TTBC

Cikgu Fisol hari ini menunggang hadrtail Merida namun layan downhill selayaknya. Disini beberapa rider jatuh

Feeding Point – Rehat & Rawat di KM 17 selepas penurunan dari ‘Bukit Cikgu Din’. Pisang dan air mineral disediakan

AWAS ! Gerombolan lembu sedang melintas jalan

Cabutan Bertuah

Green Ride: Santai Di Laluan Landai

$
0
0

Tarikh : 18hb April 2015 (Sabtu)
Masa  : 8.00 pagi – 11.30 pagi
Trek   : Bukit Chupak, Pokok Sena,Kedah
Rider  : 4 orang – Pudin, Zam, Shahrul dan Raja Ahmad
Jarak  : 19.2 km
Coordinate:

Misi hari ini adalah untuk menjejaki semula laluan Bukit Hijau bagi menilai  potensinya.

Sememangnya seronok apabila kita menjelajah satu kawasan yang kita tidak pernah sampai. Cabaran ditambah apabila terpaksa meredah semak, merentas ladang getah dan sawah padi. Walau dengan bantuan teknologi namun firasat dan naluri adalah yang penting sekali. Di kawasan yang kita tidak ketahui,  peranan rakan adalah penting. Berkat sokongan, bantuan semangat, percambahan idea, pengalaman dikongsi dan saling membantu yang digauli bersama menjadikan kayuhan menarik.

Hari ini apabila kami gagal untuk mendaki bukit yang dirancang, maka kami membuat keputusan menerjah laluan yang kami tidak pasti. Tidak perlu tergesa-gesa mengejar waktu, tidak perlu rakus, hanya perlu menjiwai kayuhan sambil menghayati alam. Hujan semalam menyejukan badan, pagi yang nyaman diseluputi kabus, disisi kami bukit tadi di sebelah sini pula ladang getah menghijau, dipenghujung sana sawah padi nan terbentang. Santai kami mengayuh sambil menghayati indahnya alam. Nuansa alam yang mencipta ketenangan dan mendekatkan kami kepada Pencipta Agung. Laluan di telusuri sambil mencari keserasian alam dan badan. Tidak terasa penat atau lelah sehingga tidak sedar sudah sampai ke penghujung(kampung). Satu kepuasan dan keseronokan apabila merubah corak kayuhan dari yang agak kasar kepada santai. Satu terapi jiwa yang menenangkan fikiran. Hijau Alam!

 

diselaputi kabus pagi

melintas parit

kawasan belukar yang terbakar

meredah semak

merehatkan badan

merentas sawah padi

Penghujung – Kampung

Bukit Perak: Layan Trek Padang Durian

$
0
0

Tarikh : 24 April 2015 (Jumaat)
Masa  : 8.15 pagi – 12.30 tgh
Trek   : Bukit Perak, Pendang,Kedah
Rider  : 30 Orang
Jarak  : 30.8 km
Max Elev  : 213 meter
Coordinate: N6° 01.962' E100° 36.722'

Menjengah sahaja ke kawasan ini aku terus membuat kesimpulan  betapa menariknya trek disini. Melihat kepada bentuk rupabumi yang kedapatan bukit-bukau, hutan simpanan, ladang getah, dusun buah-buahan dan teres ladang kelapa sawit pasti trek ini tidak menghampakan.

Kayuhan hari ini disertai oleh seramai 30 orang rider dari kawasan sekitar dan Alor Setar. Kayuhan dikoordinasikan oleh saudara Roy dan dibantu oleh teamnya.

Kami memulakan kayuhan pada jam 8.15 pagi dari Sekolah Kebangsaan Padang Durian. Menelusuri jalanraya utama menuju ke arah kampung Titi Akar sejauh ±4km dan belok ke jalan mini tar, melewati kilang air mineral Eau Claire. Selepas itu mula memasuki kawasan offroad dengan sedikit penurunan di kawasan yang berbatu yang mungkin membahayakan kepada rider jika tidak berhati-hati. Kayuhan di single track dipinggiran kawasan hutan simpanan memang menarik dan tidak membosankan. Tidak sia-sia aku datang ke sini hari ini menikmati dengan mendera diri mendaki bukit. Walaubagaimanapun hujan semalam menjadikan sebahagian laluan menjadi becak dan berlumpur. Aku yang teruja dengan penurunan hingga tidak sedar memasuki kawasan tanah yang melekit hingga basikalku diselaputi ‘donut’.

Walaupun aku pernah berkayuh disebahagian trek ini namun pengalaman kayuhan hari ini sangat  berbeza. Secara keseluruhan trek ini memang menarik kerana ia bercampur-campur dengan kepelbagaian pola mukabumi dan suasana.

12.30 tgh tamat kayuhan dengan 29 rider selamat sampai. (Seorang rider berpatah balik akibat terjatuh ketika memasuki offroad pada permulaan)

Memasuki Offroad

Sweeper Terbaik … membimbing rakan hingga penghujung

DH di laluan licin

Bukit masih diselaputi kabus

Habuan – diselaputi ‘Donut’. Syukur ada anak sungai berdekatan

Koh Lidee: Pulau Kecil Indah Di Taman Negara Mu Koh Phetra

$
0
0

 

Tarikh : 03 Mei 2015
Kos    : ± RM210.00 
Laluan:
TTG – Wang Kelian – Khuan Kalong - Langu – Ao Noon – Chalung – Wang Kelian - TTG 
Jarak : 324 km
Koordinate: N6° 46.941' E99° 45.875'

Mu Koh Petra

Mu Koh Phetra National Park

Mu Koh Phetra adalah sebuah Taman Negara Laut di Laut Andaman. Penubuhannya pada 31 Disember 1984 dan menjadi Taman Negara ke 49 dan Taman Negara Laut yang ke 14 di Thailand. Berkeluasan 494.38 km² yang merangkumi sebahagian pantai wilayah Satun hingga bersempadanan dengan Perairan Trang. Terdapat ± 30 buah pulau yang diselia dari pejabat Taman Negara yang terletak ± 2 kilometer dari Pak Bara Pier, Terdapat beberapa pulau yang menarik untuk dikunjungi seperti Koh Laoliang Nua, Koh Laoliang Tai, Moo Koh Bulon Arhcipelago, Koh Khao Yai dan Koh Lidi. Setiap pulau mempunyai keistimewaan tersendiri dengan pantai yang putih bersih dan gua yang menarik.

Menghala ke Pak Bara

Sempena cuti hari Wesak aku mengajak keluargaku untuk berkunjung ke Satun bagi menikmati keindahan pulau disekitar Mu Koh Phetra National Park. Sesudah subuh kami bertolak dari rumah menuju pintu sempadan Wang Kelian. Perlu sampai awal kerana hari ini adalah hari cuti umum/mingguan dan pastinya ramai pengunjung akan ke Wang Kelian. Sampai sebelum pintu sempadan dibuka dan menjadi orang pertama memasuki pintu sempadan. Seusai urusan imigresen kami menuju ke Khuan Kalong bagi menikmati moitelur disebuah kedai disana. Malangnya kedai ditutup jadi terpaksa mencari kedai pilihan bagi menikmati sarapan.

Pekan dan jalan kelihatan lengang mungkin kerana cuti hari Wesak (???). Setelah 70km perjalanan dari Wang Kelian kami pun tiba ke Ao Noon(N6° 50.179' E99° 45.326') pada jam 9.50 pagi waktu Malaysia. Bergambar seketika di hadapan kawasan Taman Negara dan parking di dalamnya. Kami juga meminta operator disitu mendapatkan bot khas untuk ke Koh Lidee. Sewaan sebuah bot ialah sebanyak THB1200 ( muatan 4 – 12 orang penumpang ).

Menuju Pulau

Koh Lidee atau Pulau Lidi adalah gugusan 2 pulau yang berdekatan.(Koh Lidi Lek dan Koh Lidi Yai) Dipisahkan oleh laut sejauh 300 meter. Pulau yang berkeluasan 2km per. Ia sejauh ±5km dari Ao Noon dan perjalanan ke sana mengambil masa 20 minit sahaja.

Kami mendarat di Koh Lidi Yek (N6° 46.941' E99° 45.875'), pulau yang lebih kecil. Disini terdapat stesyen Ranger 2. Pulau ini mempunyai pantai yang bersih lagi cantik. Lautan yang menghijau dengan terumbu karang yang cantik. Terdapat hutan paya bakau yang menarik yang boleh diterokai. Yang menarik ialah pelantar pejalan kaki sejauh ±300 meter yang dibina ditepi tebing. Katanya dugong boleh ditemui disini kerana sumber makanannya banyak disini.

Kami tiba awal jadi tidak ramai pengunjung disini. Akibat teruja kami terlupa mempersiapkan bekalan makanan, maka terpaksa memendekkan masa di pulau ini kerana masing-masing terasa lapar, tambahan melihat pengunjung lain menikmati hidangan makanan tengahari… hmmm terliur rasanya. Kebanyakan pengunjung hari ini adalah penduduk tempatan dan sebahagian besar adalah muslim. Pukul 1.00 tgh terpaksa memanggil bot kami dan balik ke tanah besar akibat kelaparan (sebenarnya kami boleh duduk selama mana di pulau ini – Cuma berunding tempoh masa dengan pengusaha bot yang membawa ke sini). Menikmati makan tengahari yang mewah lagi lazat di Pak Bara.

Ingin bermalam ?

Selain Stesyen Ranger di Koh Lidee, juga terdapat 8 buah rumah penginapan yang boleh disewa dengan harga THB600 semalam. Ada restoren tetapi tiada pengusaha jadi bawalah kelengkapan dan bekalan makanan/air secukupnya jika ingin bermalam disini. Tapak perkemahan juga disediakan.

Di daratan, kawasan Pejabat Taman Negara terdapat Chalet terapung yang boleh disewa dengan kadar harga antara THB600 - THB1,800 semalam. Berminat? sila hubungi pejabat:-

Mu Koh Phetra National Park
298 Moo4, Bantalaosi, Pak Nam, Langu Satun 91110


Tel 074783074 Email:
mu_ko_phetra@hotmail.com 

Kunjunganku kali ini juga bagi mendapatkan lokasi dan maklumat mengenai Taman Laut sekitar selatan Thailand ini. Insyaalah akan aku terokai lagi pulau-pulau sekitar Taman Negara di sini.

Masih di daratan – kawasan Taman Negara Mu Koh Phetra

Macam di Korea plak

Mendarat di pulau

Banyak buaian disini – berehat sambil melihat anak-anak mandi

Pelantar pejalan kaki – Nikmatilah panorama pinggiran pulau sambil melihat ikan-ikan kecil di lautan

Di belakang sana adalah Koh Lidee Yai – hanya 100 meter dari pelantar ini

Restoran yang tiada pengusaha dan tapak perkemahan

Romantik - Pantai indah bersih

Insyaalah – akan ku jelajah banyak lagi pulau di sini

Trek Hosba: Kenangan Indah Dalam Lipatan Sejarah

$
0
0

Tarikh : 08 Mei 2015 (Jumaat)
Masa  : 8.15 pagi 
Trek   : Trek Hosba, Kg. Alor Janggus, Changloon, Kedah DA
Rider  : 4 Orang – Pudin, Nasron, Cikgu Fisol & Ezzard
Jarak  : 13.9 km
Max Elev  : 117 meter
Coordinate: N6° 23.369' E100° 24.229'

Trek Hosba dahulu dikenali sebagai trek teknikal semulajadi. Trek ini mula dijelajahi sekitar tahun 2011. Ia menjadi trek pilihan selain trek yang sering aku dan sahabat sering bermain sekitar gugusan bukit di Jitra seperti CP3, Bukit Kelubi, Gajah Teriak, Jati Perik dan sebagainya. Trek ini adalah inspirasi dari Trek Bukit Kiara yang sering kami tandang sebelum ini. Trek penuhnya sejauh ±22km dan mempunyai 4 seksyen dan 4 tahap kesukaran.  Trek yang memerlukan  keyakinan diri,  daya tumpuan dan teknik yang betul.

Lama juga kami tinggalkan trek ini kerana memberi tumpuan kepada  beberapa trek lainnya seperti gunung Jerai dan sebagainya. Tambahan mendengar bahawa projek tanaman semula akan dilakukan. Kini hampir sebahagian besar trek telah hilang akibat projek tanaman semula. Di ‘Felda Trail’ dan ‘Siamese Trail’ bukit-bukitnya sudah digondolkan. Tiada lagi single trail untuk meliuk dicelah pokok getah, tak dapat lagi merasa henjutan dan lambungan di ‘seksyen Urge’(Pump track) . Keenakan membelah akar yang melintang dan merasai penurunan yang gayat sambil merentas alur air di seksyen ‘Hoppy Go Lucky’ dan ‘V-Roots’.

Yang ada hanyalah laluan  yang hambar tanpa naungan, panas disambar terik mentari. Sayup mata memandang bukit-bukit gondol yang luas dan lawas. Sesekali keliru di lokasi dan masa yang lama diambil untuk mengingati kedudukan.

Walaubagaimanapun insyaallah, iltizam aku dan Nasron (sambil dibantu oleh lain-lain sahabat), akan meninjau denai-denai di bukit, kebun getah, hutan renek dan hutan buluh bagi mencari ganti jalur yang sudah pupus itu. Sedikit masa diperlukan kerana pencarian memerlukan kerjasama dan kini saudara Nasron lebih memberi tumpuan kepada Gunung Jerai kerana melayan permintaan rider luar yang setiap minggu datang bagi merasai trek disana.

Permulaan dari  Haji Fauzi Trail. Dibawah naungan rimbun pohon yang menghijau

Memasuki sebahagian Felda Trail

Jom ke sana !

 

‘Dogiang’ kerana udah digondolkan

Bukit Gendang raya di hujung sana …

Trek Hosba: Menjejaki Laluan Baru

$
0
0

Tarikh : 15 Mei 2015 (Jumaat)
Masa  : 8.05 pagi 
Trek   : Trek Hosba, Kg. Alor Janggus, Changloon, Kedah DA
Rider  : 3 Orang – Pudin, Nasron & Haji Zaim
Jarak  : 10.1 km
Max Elev  : 139 meter
Coordinate: N6° 21.703' E100° 25.271'

Iltizam kami untuk mencari trek Hosba dipenuhi hari ini. Dek kerana itu juga aku menangguhkan beberapa program bersama keluarga hari ini.

Pagi ini kami memulakan kayuhan dari RTC Napoh menuju ke kampung Alor Janggus, memasuki denai yang membawa kami ke kawasan kebun getah dan kelapa sawit. Teruskan kayuhan menuju ke arah bukit Alor Janggus. Di sini kami menjumpai denai laluan binatang tetapi semak ditumbuhi anak kayu. Kami menelusi laluan ini sambil membuka jalan dengan menebas sehingga berjumpa kawasan kebun getah yang ditinggalkan. Di kawasan kebun getah kami mengenalpasti  laluan supaya ianya mencabar maka tereslah diredah. Mencuba sendiri penurunan agar ianya selamat dan sesuai digunakan. Seterusnya kami menuju ke sebuah bukit lagi yang kelihatan agak cerah kerana ditanami dengan kelapa sawit dan perlu menebas samun untuk menuju ke arah kawasan kebun getah sebelum keluar ke jalan raya melalui kawasan dusun.

Puas hati dengan hasil pencarian hari ini kerana ‘lapisan asas’ sudah diperolehi. Beberapa pecahan laluan akan diterokai kemudiannya bagi melengkapkan satu jalinan laluan yang teratur.

Memasuki laluan menuju kebun getah

menjumpai laluan

Pokok gaharu ???

menjelajah teres

memeriksa/menilai laluan

mencuba laluan

menebas laluan menuju ke kawasan kebun getah

Dikawasan dusun


Trek Hosba: Kelangsungan Pencarian - Fasa Ke 2

$
0
0
Tarikh : 28 Mei 2015 (Jumaat)
Masa   : 8.05 pagi 
Trek    : Trek Hosba(Baru), Kg. Alor Janggus, Changloon, Kedah DA
Rider   : 3 Orang – Pudin, Nasron & Haji Zaim
Jarak  : 8 km
Max Elev  : 187 meter
Coordinate:
N6° 23.393' E100° 24.709'
Pencarian trek Hosba (baru) masih berterusan. Seperti sebelumnya pencarian ini dilakukan oleh 3 orang ahli tetap dan misi hari ini ialah mencari jalinan laluan sehingga bertemu dengan laluan sebelum ini.
Dalam usaha mencari laluan, kami perlu memahami kawasan terlebih dahulu. Oleh itu kami menjadikan jalan utama penoreh sebagai asas/panduan sebelum pecahan laluan berikutnya dicari. Menilai ‘contour’ bukit agar satu pendakian yang sesuai dan penurunan yang menarik dapat dilakukan. Mencari  kawasan yang ada kelainan seperti hutan renek, hutan buluh supaya dapat merasai kelainan suasana.
Permulaan kayuhan kami meredah sebuah bukit yang ketinggiannya ±187 meter. Bukit yang bersih, cantik dan laluan mendaki yang luas ( baru lepas di tolak). Beberapa ekor anjing kelihatan berkeliaran disini namun tidak mengganggu kami. Termengah-mengah menunjai naik hingga sampai ke atas. Dari sini nampak banyak potensi laluan yang boleh diketengahkan. Kami menelusuri jalan utama dahulu supaya dapat memahami jalinan laluan dikawasan ini. Laluan ini membawa kami  memasuki kawasan ladang getah dan seterusnya menuju ke sebuah bukit kecil yang ditumbuhi dengan pokok buluh. Hmmm.. sampai disini aku dapat rasakan seperti pernah sampai disini satu ketika dahulu dan disahkan apabila bersua dengan hutan buluh ini. Kalau dahulu aku keseorangan disini, tanpa teman, tanpa garmin, redah tanpa haluan hingga tersekat dikawasan hutan buluh ini dan dikelilingi oleh anjing.  Kini, di hutan buluh ini sudah kelihatan denai pencari rebung, kami telusuri denai-denai ini hingga berjumpa anak sungai dan seterusnya membawa kami ke kebun getah. Di kawasan ini kelihatan banyak teres-teres yang menarik dengan akar-akar pokok yang berselirat yang pasti memberi cabaran kepada kami kelak.
Kami terpaksa memendekkan pencarian kerana masa yang suntuk dan mengambil keputusan untuk berpatah balik dan secara tidak sengaja bertemu dengan persimpangan laluan yang kami cari dahulu.
Pencarian hari ini sangat berjaya kerana sambungan jalinan asas laluan sudah ditemui. Selepas ini akan ada pecahan-pecahan laluan dari laluan asas ini. Maka dengan ini bertambah lagi koleksi trek mainan kami, Insyaallah
Dari Kebun Getah memasuki kawasan hutan buluh
menjejaki laluan di dalam hutan buluh
di sana ada laluan keluar
menyusup mencari laluan
Keluar dari kawasan hutan buluh

Meninjau potensi laluan

Bukit Hijau: Bebas Mencari Sempurna

$
0
0

Tarikh : 06/06/2015 (Sabtu)
Masa   : 8.25 pagi 
Rider   : 2 Orang – Pudin & Zam
Jarak  : 18 km
Max Elev  : 81 meter
Coordinate:

Tidak ada yang cukup menyeronokkan bagi seorang penunggang sepeda gunung tatkala menjamah laluan yang mencabar – tetapi bagi aku pula, ada lagi yang perlu diambil kira. Aku sukakan sesuatu yang baru, menjelajah ke tempat yang tidak pernah aku sampai bahkan keinginan untuk memahami keseluruhan kawasan adalah keutamaan. Berharap semoga jejak yang bersesuai dapat ditemukan. Bukan sekadar laluan teknikal, aku juga tercari sesuatu yang dapat memberi keseronokan dan seterus dapat menikmati keindahan alam.

Hari ini aku masih meneruskan misi. Misi mencari jejak yang "sempurna". Jejak di kawasan lembah di lereng Bukit Hijau dan beberapa anak bukit di kawasan perkebunan getah. Eksplorasiku kebelakangan ini memberi inspirasi dalam mencari erti sempurna. Kalau dahulu kesempurnaan dalam pencarianku adalah survival. Kini ia lebih kepada keseronokan dan kepuasan.

Misiku pagi ini adalah untuk mencari kesinambungan laluan. Dengan berpandukan alat garmin aku meneroka ladang-ladang getah supaya laluan yang bersambungan dapat ditemui. Laluan biasa yang terbuka adalah hambar, abaikan saja. Sengaja meredah kebun getah bagi menambah rencah. Penurunan dan pendakian diadunkan buat menambah perisa.

Bukit baru dijumpa lalu ‘ditanda’, masa yang sesuai pasti kami redah. Pencarian kami perlu dipendekkan kerana urusan kenduri perlu dihadiri. Kembali ke laluan biasa namun berehat seketika di pinggiran kolam bagi menikmati indahnya alam …..

Awal permulaan – laluan mini tar

Mendaki Bukit

memasuki kawasan perkebunan getah

menuju ke kawasan kolam

melepas lelah merehatkan badan

Trek Hosba: Memuktamadkan Laluan Asas

$
0
0

Tarikh : 24 Julai 2015 (Jumaat – 8 Syawal 1436H)
Masa   : 8.05 pagi 
Trek    : Trek Hosba(Baru), Kg. Alor Janggus, Changloon, Kedah DA
Rider   : 4 Orang – Pudin, Nasron, Musz & Mohd Ezzad
Jarak   : 13.9km km
Max Elev  : 107 meter
Coordinate: N6° 22.952' E100° 24.581'

Sudah 48 hari aku tidak mengayuh, terasa malas (baloq) sekali pagi ini, ditambah masih terasa mood Hari Raya. Ku gagahi jua apabila saudara Nasron mengajak untuk sambung meriki trek Hosba – teruja sekali aku dengan trek ini. Hasil pencarian kami hari ini ternyata berbaloi sekali. Terbalas hasrat malas. Bahkan ia sebagai pemangkin untuk aku mula mengayuh. Aku perlu mulakan semula aktiviti kayuhan ini kerana aku cuma ada 2 bulan lagi sebelum program Great Adventure Bromo bermula.

4 orang tampil dan jumlah yang kecil ini bersesuaian sebagai kumpulan pencari. Kami mulakan kayuhan dari RTC Napoh, Jitra, Kedah Darul Aman(N6° 21.701' E100° 25.274') pada jam 8.05am seusai bersarapan. Misi kami hari ini adalah untuk menverifikasi laluan terdahulu disamping memuktamadkannya.

Hari ini kami masuk ke bukit melalui laluan baru. Laluan yang pernah digunakan untuk keluarkan hasil hutan. Seperti kawasan padang ragut yang cantik terbentang sebelum mendaki bukit Alor Janggus dan seterusnya memasuki kawasan ladang getah. Di kawasan hutan getah lama, penurunan dicelah rimbunan hutan renek sambil mengelak kubang babi sebelum merasai kenikmatan di ‘teres berganda’ yang pasti menerujakan pada geng ‘ekor lembut’.  Section ini kami sepakat mengekalkannya. Kemudian saudara Nasron membawa kami ke  kawasan dusun yang cantik, namun tidak ada kesinambungan laluan kerana dusun ini berada di kawasan lembah, tetapi apabila melihat sebuah bukit berdekatan, lalu mencari jalan untuk mendaki. Laluan mendaki yang kami jumpa ini akan dijadikan penurunan kerana mempunyai potensi ditambah ada akar pokok yang melintang yang pasti memberi cabaran kepada kami.

Seterusnya ke ‘bamboo trail’– kawasan hutan buluh yang mengalir sebatang anak sungai (charok). Untuk menjadikan laluan ini lebih sempurna perlu dibuat pembersihan kerana banyak buluh ditebang dibiarkan melintang oleh beberapa pencari rebong dan buluh baru-baru ini.

Secara dasarnya, ujian laluan hari ini amat berjaya. Kami sudah mengenalpasti laluan yang teratur dan beberapa penambahbaikan akan terus dilaksanakan. INSYAALAH, selepas semuanya sempurna, maka ia akan menjadi antara koleksi dan tumpuan penggemar MTB dihujung minggu.

Atas sebuah bukit - Ladang Getah tua

Menyusup di celah pokok

membersihkan laluan

menjunam menikmati penurunan

Penurunan di section ‘Teres Berganda’

Dusun – cantik – buah durian dah habis

Penurunan dari sini – TQ Musz atas Pic ini

laluan ini akan dijadikan penurunan. Laluan menuju ke bukit yang ada dusun

menghampiri bamboo trail

di Bamboo Trail

Hampir tamat – keluar ke jalanraya berhampiran Kampung Napoh Ulu

Trek Padang Durian: Kayuhan Fiesta Durian

$
0
0

Tarikh : 31 Julai  2015 (Jumaat)
Masa  : 8.15 pagi – 12.30 tgh
Trek   : Bukit Perak, Pendang,Kedah
Rider  : 25 Orang
Jarak  : 31 km
Max Elev  : 188 meter
Coordinate: N6° 01.896' E100° 39.475'

Kampung Padang Durian terletak ± 25km dari Pekan Pendang. Ia adalah sebuah kawasan pertanian yang dikelilingi oleh ladang getah, sawah padi, kelapa sawit dan lain-lain lagi. Kawasan ini juga terkenal dengan pengeluaran  buah-buahan terutama durian yang sinonim dengan nama kampungnya. Kebetulan musim durian masih belum berakhir(walau sudah berada hampir ke penghujungnya) maka atas inisiatif saudara Romzi aka Roy telah menganjurkan satu kayuhan yang dikenali sebagai ‘Kayuhan Durian’.

Kayuhan ini disertai oleh seramai 25 peserta yang dikeloi oleh Roy melalui fb dan whatsApp yang rata-rata adalah terdiri dari geng sekitar, Pokok Sena dan Alor Setar. Kami berkumpul dan bermula di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Durian(Coordinate: N6° 01.962' E100° 36.722'). Laluan yang dilalui adalah laluan yang pernah kami kayuh tempohari. Tidak pernah jemu akan trek ini kerana suasana persekitaran yang nyaman kerana dikelilingi oleh rimbunan hijau,  sawah padi yang terbentang dan dikelilingi oleh bukit-bukau. Apatah lagi bila memasuki kawasan dusun. Durian jatuh merata-rata seperti tidak dipeduli (mungkin faktur bulan puasa ) hampir terlanggar buah-buah lama yang berguguran. Sesekali bersaing dengan motor penduduk tempatan yang membawa ‘jaras’ besar di belakang buat mengisi buah yang luruh pagi tadi.

Setelah mengayuh dilaluan biasa, kami menuju sebuah dusun di kawasan bukit pinggiran Hutan Simpan Bukit Perak. Sudah sedia menunggu abang scrambler, mungkin tuan punya dusun. Membiarkan kami mencari sendiri buah-buah segar yang baru luruh. Mengopek menikmati buah dari pelbagai klon. Dari isi putih, kuning, merah jambu semua dirasai. Ada bagaikan ice cream hingga digelar ‘magnolia’. Ada yang isi tebal biji halus. Buka sebiji makan seulas, begitu mewah sekali tatkala berada di dusun. Bahkan kami dibawa ke beberapa dusun lagi ..hmmmm jenuh makan. Dalam letih dan redup nak hujan, dalam dusun dipenuhi buah mungkin tak banyak dapatku makan. Selesai kayuhan membeli buah ditepian jalan untuk keluarga buat bekalan.

Sesungguhnya kayuhan ini amat berbaloi dan menarik sekali. Trek menarik sesedap durian itulah yang dapat diungkapkan.

Kayuhan bermula jam 8.00 pagi di hadapan Sek. Keb. Padang Durian Pendang, Kedah

Melalui kilang memproses air mineral Eau De Clare Sdn. Bhd., Titi Akar, Kedah

Berhampiran Hutan Simpan Bukit Perak

 

Merentas sawah padi

Meredah ladang getah

Downhill yang menarik

Cabaran Menuju dusun – bechak

Naungan hutan buluh

Menikmati durian

Kedah International Duathlon Challenge 2015: Acara Lasak Lagi Berprestij

$
0
0

Acara : Kedah International Duathlon Challenge 2015 (KIDC 15)
Tarikh: 28 & 29 Ogos 2015
Tempat : Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Jalan kodiang ,Jitra Kedah.
Koordinate : (N6° 20.070' E100° 21.764')
Race Format : 10km Trail Run - 35km MTB - 8km Trail Run
Fee : individual RM125 / relay RM250 (early bid 20% off)
Website: http://www.kedahduathlon.com/

Duathlon adalah satu kejohanan  yang  mengandungi 2 acara sukan iaitu larian dan berbasikal. Format yang biasa digunakan ialah lari-basikal-lari. Dimana peserta akan berlari kemudian bertukar kepada tunggangan basikal dan kembali berlari.

Acara Larian 1 sejauh 10km

Kedah International Duathlon Challenge 2015 (KIDC 15) adalah kejohanan bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan di Kedah. Ia disertai oleh peserta tempatan dan luar negara dan dianjurkan oleh Base Group(sebuah syarikat even management tempatan). Ia mendapat sokongan dan kerjasama dari Kerajaan Negeri Kedah dan pelbagai agensi Kerajaan & swasta lainnya.

Acara 2 – Kayuhan sejauh 35km

Ia akan diadakan pada 28 & 29 Ogos 2015 dan setiap acara akan bermula dan tamat di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Jitra Kedah (N6° 20.070' E100° 21.764')

Larian 3 – larian mendatar sejauh 8km

Hari ini aku telah dijemput oleh sahabat kayuhanku, saudara Zailani Bin Zain yang menjadi salah seorang penganjur untuk mencuba dan membantu plot laluan. Aku tidak mampu untuk berlari tetapi hanya mengikut dengan basikal pada laluan larian pertama sejauh ±10km dan seterusnya mencuba laluan basikal mengelilingi Bukit Tunjang sejauh hampir 35km. Walaupun aku pernah ke sini beberapa kali namun ternyata banyak lagi seksyen yang aku tidak pernah menjamah sebelum ini. Laluan yang hampir 80% offroad dan berteknikal sememangnya menguji kesabaran dan kemahiran peserta. Dengan banir pokok yang terbungkin dan akar terjulur yang melintang  pasti memberi cabaran kepada peserta. Ditambah dengan suasana dusun yang mendamaikan dan teduh menambah keseronokan disini. Seterusnya mencuba lagi laluan larian tetapi agak mendatar sejauh ±8km. Ia melalui kawasan jalanraya dan merentas sawah padi. Laluan terbuka dan panas pasti menambah cabaran peserta bagi menamatkan acara.

Bersama Pengarah Teknikal, Xterra Malaysia, Mr David Spence & Mr Michael Tighe

Mr David Spence, salah seorang Pengarah Teknikal Xterra Malaysia (yang tersohor dalam penganjuran lasak sebegini) turut memberi sentuhan dan nasihat teknikal dalam penganjuran berprestij ini . Aku tidak dapat bersama dalam acara ini kerana kurang persediaan  lagipun aku mempunyai urusan di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut. Maka aku berdoa semoga event ini akan berjaya dan seterusnya mengharumkan nama Kedah di persada antarabangsa dan tempatan.

Mukadimah - Larian awal sejauh 10km ..

larian dalam dusun yang teduh dan menarik

Acara 2 – Basikal

Laluan menarik dan menerujakan

Kawasan dusun yang teduh

Boleh menjamu selera

BALI - Pulau Seribu Pura: Day 1

$
0
0

Tarikh : 02 – 05 September 2015
Kos    : Percuma -  Ditanggung semua
Koordinate: S8° 44.694' E115° 10.052'

Pengenalan

Pulau Bali juga digelar sebagai Pulau Dewata. Sebuah pulau yang terletak antara Pulau Jawa dan Pulau Lombok. Namanya tersohor melebihi nama Indonesia. Terkenal seantero dunia kerana keindahan pantai. Pulau yang ‘setiap orang adalah seniman’, penduduknya kaya dengan budaya, mewah dengan senyuman dan hebat dengan seninya.

Segala aspek kehidupan mereka meliputi budaya sentiasa berteraskan nilai-nilai keagamaan. Agama yang menjadi simbul kekuatan hidup dan berkaitan rapat dengan alam. Hindu adalah agama mereka namun yang unik, anutan mereka berbeza sama sekali dengan lain-lain penganut hindu tempat lain, tiada Deepavali dan tiada Thaipusam. Mereka adalah penganut agama Hindu-Dharma. Iaitu gabungan kepercayaan hindu dengan kepercayaan asli (animisme???)

Dimana jua aku pergi akan kelihatan pura (temple). Dari gunung hingga ke sumber air. Disetiap rumah, kampung, daerah dan seterusnya Kerajaan pasti kita jumpa. Ia digunakan untuk upacara-upacara tertentu dan sebagai tempat manusia untuk berhubungan dengan dewa-dewa dan komunikasi sesama manusia, mungkin sebab itu ia dikenali sebagai ‘Pulau Dewata.’

Pulau Bali berkeluasan ± 5,620 km2 dengan penduduknya berjumlah lebih dari 3 juta orang dan majoriti adalah hindu (±95%). Industri pelancongan merupakan faktor utama menyumbangkan kepada ekonominya.

image

Bali, waktunya adalah sama dengan waktu Malaysia. Waktunya dikenali sebagai WITA - Waktu Indonesia Tengah ( Central Indonesian Time) iaitu 8 jam kehadapan (UTC +8:00) dari Coordinated Universal Time (UTC).

Di Bali, soket elektriknya adalah 2 pin socket(bulat) Voltage: 230 V, Frequency: 50 Hz Power sockets.

Aku ke KLIA melalui Pulau Pinang dengan penerbangan MAS MH 1145 jam 12:55 tgh dan penerbangan seterusnya ke Bali dengan pesawat MAS MH0853 pada jam 3:20 petang. Penerbangan yang mengambil masa 2 jam 40 minit dan mendarat dengan mulus di Bandara Ngurah Rai (juga dikenali sebagai Denpasar International Airport) pada jam 6.15 petang.

Bandara Ngurah Rai(S8° 44.694' E115° 10.052') terletak ± 13km dari kota Denpasar dan merupakan Lapanganterbang ke 3 yang sibuk di Indonesia.

Disana sudah menanti bapak Nyioman untuk membawa kami ke Hotel Swiss-Belhotel, Tuban(S8° 43.996' E115° 10.249') yang terletak di  No 31, Jl. Kubu Anyar , Kuta, Bali 80361, Indonesia. Sebuah hotel bertaraf 4 bintang yang cantik dan terletak di kawasan pinggiran kota.

Sebelum ke hotel kami singgah ke sebuah restoran muslim iaitu Pawon Pasunda untuk menikmati makanan khas Jawa Barat (Sunda) iaitu Nasi Timbel dan Gurami Ikan Terbang.

Nasi Timbel adalah nasi yang dimasak dengan beras khas dan dibungkus rapi dengan daun pisang supaya dapat mengekalkan kesegaran, enak dimakan dan tahan lama. Nasi ini biasanya dihidangkan bersama tempe, ikan masin, ayam goreng, sayur dan yang penting dalam hidangannya adalah ulam dan sambalnya yang enak dan sebagai pembuka selera.

Gurame ikan terbang adalah ikan spesis Gourami yang disiangkan dengan berhati-hati dengan membelah bahagian tertentu dan digoreng garing dan isinya dibiar melebar dan melengkung hingga mirip sayap. Dihidang dalam pinggan secara unik dan diolah seakan burung hendak terbang.Wow ! Lazat menyelerakan … tambah pulak free.

Menikmati nasi timbel & ikan terbang di Pawon Pasunda @ No. 2, Jalan Kendiri, Tuban, Kuta, Bali

Bilik selesa dan ada kolam mandi di depan lobi, namun tak kesempatan nak mandi pun

… bersambung …


Pautan Kembara Berkaitan

1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam: Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3

BALI – Budaya & Alam: Day 2

$
0
0

Tarikh : 03 September 2015
Kos    : Percuma -  Ditanggung semua
Kuta – Gianyar – Kintamani - Kuta

Bersarapan dihotel dengan berhati-hati, hanya menikmati buah dan roti. Selepas sarapan, sempat berbual dengan Pak Nyoman. Tertarik dengan nama yang hampir serupa digunakan lantas aku bertanya kepada Pak Nyoman apakah ada rahsia disebalik nama yang mirip ini.

Nama orang Bali sememangnya unik, ia bercirikan kasta (wangsa) dan turutan kelahiran.

· ‘Wayan’ adalah anak pertama. Adakala digunakan ‘Putu’ atau‘Gede’.

· ‘Made’ adalah untuk anak kedua yang bermaksud madya(tengah). Ada juga yang menggunakan ‘Nengah’ atau ‘Kadek’.

· ‘Nyoman’ adalah untuk anak ketiga dan juga digunakan nama‘Komang’.

· ‘Ketut’ untuk anak keempat. Asal dari ngetut yang bermakna mengikuti atau mengekor

Ohh! baru faham, patutlah dulu semasa aku aktif bermain bonsai, nama Ketut dari Bali sering menjadi sebutan.

Aku juga tertarik dengan pakaian Pak Nyoman hari ini. Beliau menerangkan kepadaku akan falsafah mengenai pemakaian baju tradisi Bali. Pakaian mereka sebenarnya mempunyai erti dan nilai tersendiri. Pakaian yang berkonsepkan Tri Angga.

Dikepala akan diikat ‘Udeng’ (dastar) dengan ujungnya menghadap ke atas sebagai simbol penghormatan. Simpulan di tengah sebagai lambang pemusatan fikiran.

Pemakaian ‘Kamen’ yang berupa kain penutup tubuh bahagian bawah yang diikat dipinggang dari kiri ke kanan sebagai lambang ‘Dharma’. Kedudukan Kamen yang tingginya ± sejengkal dari telapak kaki dengan ujung lancip menghadap ke bawah dan harus menyentuh tanah, ia sebagai simbol penghormatan terhadap ibu pertiwi.

Kemudian dikenakan ‘Saput’ ( Kampuh ) iaitu kain luar yang diikat di pinggang secara lawan jam. Saput juga bertujuan untuk melindungi ‘kejantanan’ sang pemakai.

Jam 8.30 kami bertolak ke Gianyar. Kami melalui Lebuhraya bertol yang merentas kawasan laut. Ianya dibina dalam tahun 2011 dan siap dalam tahun 2013. Lebuhraya yang bertujuan menyuraikan kesesakkan jalanraya sejauh 12.7 km yang merentasi laut Bali dan menghubungkan Pelabuhan Benoa - Ngurah Rai - Nusa Dua. Binaannya yang unik dan cantik yang cuba mengekalkan ekologi alam sekeliling.

Jam 9.30 pagi kami tiba ke Sekehe Barong Sila Budaya, Puri Anom, Batu Bulan, Gianyar, Bali(S8° 37.639' E115° 15.519' ). Terus mengambil tempat dan pertunjukkan ‘Tari Barong dan Kris’ terus bermula. Tari Barong dan Kris berkisar kepada pertarungan antara ‘kebaikan’ melawan ‘kejahatan’. Barong adalah binatang purbakala yang melambangkan ‘kebaikan’ melawan Rangda sejenis binatang purbakala yang menggambarkan ‘kejahatan’. Ia adalah cerita dari kitab hindu Mahabhrata. Terdapat 6 babak cerita namun aku kurang faham cerita dari setiap babak tersebut (hmmm…).

Singgah sebentar ke pusat pembuatan batik di ‘Sari Amerta Batik Collection’(S8° 37.844' E115° 15.597') di Batu Bulan. Di sini ditunjukan proses penenunan kain Songket Bali ataupun Kain ‘Tenun Endek Khas Bali’. Diajar cara membuat batik, melihat proses pembuatan batik. Di ruang utama ada pusat jualan yang menjual pelbagai bahan tekstil, hasil batik dan souvenir.

Sejam disini dan kami bertolak menuju Kintamani untuk menikmati makan tengahari sambil menikmati panorama tanah tinggi Gunung Batur dan kawasan sekitar. Perjalanan sejauh ± 47km yang memakan masa hampir 2 jam. Kintamani menyediakan pemandangan tanahtinggi dengan udara segar dan nyaman. Tarikan utama di sini ialah pemandangan Gunung Batur dan Danau Batur. Di sini kami menikmati makanan tengahari ala buffet di Restoran Gong Dewata (S8° 16.287' E115° 20.782'). Aku dimaklumkan bahawa daerah Kintamani selain terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian ia juga terkenal dengan baka anjing terbaik lagi cantik bertubuh mungil yang dikenali sebagai anjing Kintamani.

Gunung Batur adalah salah satu gunung berapi yang masih aktif. Ia setinggi 1,717 meter dan kedua tertinggi selepas Gunung Agung (2,153 m). Kali terakhir gunung ini meletus ialah pada tahun 2000. Letusan yang kuat ribuan tahun lalu telah mewujudkan danau Batur yang menjadi danau terbesar di Bali.

Tarikan utama ke Gunung Batur adalah hiking dan juga menjadi tempat tumpuan untuk melihat ‘sunrise’. Dari Restoran aku melihat sebuah desa bagaikan pulau yang terselamat dan tidak dilanda aliran lava gunung berapi. Aku juga dimaklumkan bahawa di perkampungan Trunyan  (berdekatan Tasik Batur), penduduknya yang meninggal dunia, mayat mereka akan dibiar reput di bawah sebatang pokok ara dan kononnya mayat-mayat ini tidak mengeluarkan bau sama sekali.

Tari Keris


Pautan Kembara Berkaitan

1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam: Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3


BALI – Pantai, Pulau & Pura: Day 3

$
0
0

Tarikh : 04 September 2015
Kos    : Percuma -  Ditanggung semua
Kuta – Tanjung Benoa – Tanah Lot

Selepas sarapan ±jam 9.00 kami ke Tanjung Benoa(S8° 45.693' E115° 13.389'). Tanjung Benoa adalah kawasan perlancongan yang semakin mendapat perhatian. Terletak ± 15km dari Swiss-Belhotel atau 45 minit perjalanan dengan mengikuti lebuhraya merentas laut. Tanjong Benua suatu ketika dahulu adalah kawasan nelayan, namun selepas industri perlancongan mula melonjak, secara langsung Tanjong Benoa turut menerima tempias pembangunan. Dengan memiliki pasir yang putih dan laut yang tenang menjadikan pantai ini sangat cocok untuk aktiviti sukan air seperti parasailing, snorkeling, seawalker dan paling menarik ialah kunjungan ke Pulau Penyu. Perjalanan kesana menjadi menarik jika menaiki bot berkaca  kita boleh melihat indahnya pemandangan bawah laut tanpa perlu menyelam. Beraneka ikan dapat dilihat berenang-renang di sekeliling terumbu karang, tumbuh-tumbuhan laut serta lain-lain hidupan laut yang amat dijaga kelestarianya.

Di pulau Penyu kita berpeluang melihat penyu sebenar yang berusia ratusan tahun. Mendengar penerangan tentang cara memelihara penyu dan penetasan telornya. NAMUN kami terasa sungguh hampa sekali, air surut dan dijangka  mula pasang pada jam 11.00 pagi. ALAMAK lama lagi perlu menunggu dan membuang masa. Lalu kami menukar program dan dibawa ke Rama Krisna(S8° 44.525' E115° 10.697') sebuah kedai oleh-oleh dengan harga yang sangat patut.

Rama Krisna adalah pusat oleh-oleh terbesar dan terlengkap di pulau Bali. Ia terletak ± 4km daripada hotel kami. Menawarkan barangan souvenier dan lain barangan dengan harga tetap membuat kami tak perlu  tawar menawar (dan terkena !). Suasana berbelanja yang nyaman dan mempunyai kawasan parkir yang luas.

Jam 11.30 pagi aku ke Masjid Nurul Huda yang terletak berdekatan bandar udara Ngurah Rai untuk solat Jumaat. Rugi rasanya jika tidak bersolat di masjid apabila kita mengembara disesuatu tempat. Masjid ini hanya beberapa ratus meter sahaja dari Rama Krisna. Uniknya masjid ini ia terletak bersebelahan dengan Gereja GPIP Ekklesia dan Pura Jagad Tirtha. Menunjukan betapa harmoninya hubungan agama di kalangan penduduk Bali.

Selepas solat kami menikmati makan tengahari di Restoran Istana Raya atau dikenali sebagai Istana Ayam Pop(S8° 42.651' E115° 11.137'). Restoran nasi padang yang terkenal dengan ayam popnya (ayam goreng spesel). Sepanjang di Bali disinilah tempat yang aku makan dengan begitu puas sekali bahkan disini juga aku memakan ayam popnya (ditempat lain aku hanya makan ikan dan makanan laut sahaja). Memang tempat ini akan aku rekomenkan kepada kawan-kawan jika ke sini.

DSC02847

Jam 2.00 petang kami bertolak menuju Desa Beraban, Kecamatan Kediri, Kabupaten Tabanan. Dimana terdapatnya sebuah pura yang menjadi icon di Bali iaitu Pura Tanah Lot.( S8° 36.984' E115° 05.260').

Jaraknya sekitar 19km dari Restoran Istana Raya atau ± 1 jam perjalanan. Pura ini terletak di atas bongkahan batu karang yang besar. Apabila air laut pasang, kelihatan seperti pulau dengan deburan ombak yang menghempas pantai menambahkan menariknya pura ini. Untuk masuk ke kawasan wisata ini, pelancong dikenakan bayaran sebanyak Rp 10.000 / orang.

Pura ini dibina bagi menghormati dan memuja dewa penjaga laut.

Di bawah pura ini terdapat ‘Gua Air Suci’. Air suci yang tawar rasanya yang dikatakan berpunca dari mata air di tengah laut. Kononnya air ini mengandungi seribu khasiat dan hikmat. Ada yang berkeyakinan meminum air suci ini boleh menyembuhkan beberapa penyakit dan boleh mengembalikan kesuburan kepada pasangan yang mandul. Tidak ada bayaran dikenakan hanyalah menderma seikhlas. Aku ingin juga merasa air ini, namun ada sedikit upacara tertentu selepas meminum, maka terpaksa membatalkan hasrat dan hanya melihat sahaja.

Dihadapan pura ini ada gua kecil yang dikenali sebagai‘Gua Ular Suci’ yang didalamnya ada ular laut. Kononnya ular laut ini adalah penjaga pura dan berasal dari jelmaan selendang seorang Brahmana iaitu Dang Yang Nirartha. Aku tidak melepaskan peluang menyentuh ular ini yang katanya jinak dan tidak pernah mematuk. Tidak ada bayaran dikenakan cuma sedikit derma seikhlas sahaja.

Hampir 1½ jam kami disini dan selepas itu kami bertolak ke pantai Jimbaran untuk menikmati makanan malam di Blue Ocean Seafood(S8° 45.757' E115° 10.209'). Sememangnya pantai Jimbaran adalah tempat yang istimewa untuk menjamu selera dengan makanan laut yang segar sambil menyaksikan matahari terbenam.

Kami juga sempat melawat kawasan yang pernah di bom di Legian, Kuta,Bali Blast Monument & Ground Zero Memorial (S8° 43.036' E115° 10.468'). Kejadian pengeboman yang berlaku pada 12 October 2002 di kawasan kunjungan pelancong telah membunuh seramai 202 orang (88 pelancong  Australian, 38 penduduk Indonesian dan beberapa pelancong dari 20 buah negara) dan mencederakan 209 orang. Pengeboman dilakukan oleh Imam Samudra, Amrozi dan Mukhlas dari Jemaah Islamiyah. Dalang pengeboman ini telah dihukum mati pada 9 November 2008.

Berhampiran Rama Krisna

Pintu masuk Ke Pura Tanah Lot – Tiket dikenakan sebanyak Rp 10.000 / orang

Di pantai Jimbaran – Hiburan sambil makan

Deruan ombak menghempas pantai


Pautan Kembara Berkaitan

1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam:   Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3

Bukit Broga: Santai Keluarga

$
0
0

PA113335

Tarikh  :  11 Oktober 2015    

Bukit Broga terletak berhampiran pekan Broga(Beroga) yang jaraknya ± 12km dari Semenyih, Selangor Darul Ehsan. Terletak di antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Bukit ini terletak dipinggiran Banjaran Titiwangsa. Ia juga dikenali sebagai 'Bukit Lalang'– mendapat jolokan ini kerana puncaknya tidak banyak ditumbuhi pokok dan ditumbuhi dengan rumput spesis ini. Bukit Broga hanya setinggi 400 meter sahaja dan sejauh 1.7km sahaja. Ia mempunyai 3 puncak pemerhati (view point).

Kebetulan aku ada urusan peribadi di Kuala Lumpur dan awal pagi setelah menghantar sebahagian anak aku ke LCCT2 untuk penerbangan balik, aku bersama isteri dan 2 orang anakku lagi meneruskan perjalanan ke Semenyih. Lama benar ku simpan hasrat untuk mendaki bukit ini. Walaupun kawasan sekitar diselebungi jerubu ( IPU ±90) namun tak mematah semangat untuk menawan puncak Broga.

Jam 7.45 pagi kami sudah sampai ke tempat permulaan iaitu di sebuah ladang kelapa sawit (N2.93894° E101.90081°). Aku parkir kereta di dalam kawasan ladang ini dekat dengan permulaan dan redup. Bayaran masuk sebanyak RM2.00. Wow! banyak kereta, ramailah pengunjungnya (Alamak ..hari minggulah).

20151011_090918

Setelah siap bersiap, jam 8.00am kami memulakan langkah. Berselisih dengan pendaki yang sudahpun turun (awainya depa .. mesti dok usha matahari terbit pa). Permulaan pendakian melalui kawasan kelapa sawit sejauh ±500 meter dan selepas melalui gerbang permulaan (N2.94238° E101.90177°) kami melalui kawasan hutan kecil yang dinaungi pokok dan ia tidaklah terlalu curam. Setelah ± 20 minit maka sampailah ke kawasan yang agak terbuka yang dipenuhi lalang, maka disini cabaranpun bermula. Tanjakannya agak lumayan, disini tersedia tali yang dipasang sebagai bantuan untuk mendaki/menurun. Nasib baik aku bersedia dengan kasut yang sesuai (kasut hiking) maka kurang sedikit kegelinciran dan pendakian menjadi sedikit mudah kerana ada cengkaman. Berhenti menikmati panorama dibeberapa tempat sambil bergambar dan akhirnya setelah hampir 1 jam mendaki aku pun sampai ke puncak tinjauan 3 ( N2.95032° E101.90296° ) yang menjadi puncak Broga dengan ketinggian ± 400 meter. Terdapat tiga puncak (view point) sepanjang perjalanan ke puncak. Dari puncak kita boleh teruskan melalui denai sediada yang lebih mencabar sejauh ± 3km lagi ke Gunung Tok Wan (675 meter).

Berehat seketika melepas lelah sambil menghilangkan dahaga. Semestinya menikmati panorama indah sambil mengambil gambarnya sekali. Indah sekali menyaksikan pemandangan bukit yang ‘lawas’ ini.

Selamat tiba ke bawah pada jam 10.05 pagi. Berehat seketika menghilangkan peluh. Kemudian kami menuju ke pekan Semenyih mencari restoran nasi ayam yang dikatakan amat popular di sini. Restoran ini (N2.94945° E101.84567°) terletak berhadapan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (C), Kampung Baru Semenyih, Semenyih. Wow ramainya orang dan terpaksa beratur panjang untuk memesan nasi ayamnya. Restoran ini juga terkenal dengan cucur udang dan tauhu sumbatnya. Sempat bertanya makcik ini dan beliau memaklumkan bahawa beliau sudah berniaga sebelum 13 Mei 1965 lagi.

Memandangkan masa lagi awal, maka aku bercadang untuk ke Air Terjun Sungai Tekala. Dalam perjalanan aku singgah sebentar di kolam Air Panas Sungai Serai(N3.09088° E101.79465°). Sempat berendamkan kaki ke dalam kolam dan Alhamdulillah sebaik sahaja meletakkan kakiku ke dalam air panas, sakit kepalaku yang berdenyut-denyut hilang.

Kelihatan hanya ada satu kolam air panas sahaja dan dan kelihatan air panas keluar dari perut kolam ini. Untuk masuk ke kawasan ini akan dikenakan tiket sebanyak RM1.00 seorang dan bayaran parkir juga RM1.00 per entry.

Perjalanan kami diteruskan ke Sungai Tekala dan singgah sebentar di Empangan Semenyih(N3.09094° E101.88733°). Empangan ini terletak di Batu 10, Jalan Sungai Lalang Semenyih, Selangor.

Empangan Semenyih dibina dalam tahun 1980 dan siap pada tahun 1985. Pembinaannya adalah untuk meningkatkan bekalan air ke kawasan Lembah Kelang dan Selangor. Mempunyai kawasan seluas 360 hektar dengan keupayaan takungan sebanyak 13,500 juta gelen. Empangan ini panjangnya ± 2 kilometer dan kedalaman paling dalam ialah 200 meter.

PA113397

Kawasan ini menjadi tumpuan kaki pancing kerana terdapat pelbagai jenis ikan di empangan ini. Tambahan pula Jabatan Pertanian dan perikanan ada melepaskan beberapa spesis ikan yang sesuai dipelihara di kawasan empangan. Ikan-ikan ini merupakan petunjuk kepada kuali air.

Apabila tiba di sungai Tekala kelihatan ramai sekali orang, maka aku ambil keputusan untuk balik sahaja.

20151010_132614

Sehari sebelum (10/10/2015) menghadiri Majlis Perkahwinan anak saudara, Fatin Aimi & Hafizi di Taman Selayang Mutiara    
Selamat Pengantin Baru – Moga kekal hingga ke Jannah 

Menghadiri Majlis Konvokesyen anakku pada 12/10/2015 di PICT Putrajaya

Kembara Bromo: Prolog

$
0
0

Tarikh  :  24 – 31 Oktober 2015    
Rider    : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman &  Rohizam)
Jarak   :  ± 400 km 
Lokasi  : Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

Sebermula di Surabaya

Kami pasti ke sana - disana Gunung Bromo, nun dibawah lautan pasir

Surabaya adalah ibukota provinsi Jawa Timur. Sebuah kota Metropolis yang kedua terbesar di Indonesia setelah Jakarta. Ia adalah pintu masuk ke wilayah timur ini. Sesungguhnya banyak lokasi menarik yang akan cuba kami singgahi semampunya.

Selepas Kembara Kathmandu kami memilih Bromo di Jawa Timur, Indonesia sebagai pilihan seterusnya dengan plan kayuhan seperti berikut:

Surabaya–Sidoarjo–Bangil – Pasuruan – Probolinggo - Mount Bromo – Malang – Batu – Surabaya yang berjarak ± 340km

Kali ini hanya 4 orang sahaja lantaran yang lainnya mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Tindakan pertama kami adalah mendapatkan tiket penerbangan Air Asia dari Penang Ke Surabaya dengan KOS RM340.00 pada awal November 2014. Kami menjangkakan bahawa perbelanjaan keseluruhan tidak lebih dari RM1,000.00 seorang. Perbincangan diadakan dari semasa ke semasa dengan menilai dan  berkongsi maklumat dan laluan.

Kayuhan kali ini lebih berbentuk ‘sokongan kendiri’ maka kami terpaksa membawa  barangan masing-masing tanpa kenderaan sokongan. Oleh itu ketahanan fizikal dan mental perlu ada. Barangan dan basikal perlu diuji maka beberapa siri latihan dengan membawa barangan (ala-touring) dengan mendaki bukit dan melalui jalan offroad juga dibuat.


MAKA pada tanggal 24 Oktober 2015, jam 05:05 petang, bertolaklah kami  dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas ke Surabaya dengan pesawat Air Asia (QZ387). Penerbangan yang mengambil masa lebihkurang 2 jam  selamat mendarat di Lapangan Terbang Juanda pada jam 08:30 mlm waktu Malaysia (7:30 pm waktu Indonesia Barat(WIB)).

Di airport kami dapatkan 2 buah Toyota Inova dari syarikat pengangkutan yang berdaftar, Primlopal Juanda (Prana Jaya – 0896 1313 9622) bagi mengangkut barangan dan kami ke hotel iaitu Loxy Inn(S7.26650° E112.74403°) di Jalan Embong Wungu No. 5, Jawa Timur, Indonesia. (Sebuah hotel yang agak selesa dan sering mendapat komen yang baik oleh  backpackers). Jaraknya 17.7km dari Lapangan Terbang Juanda. (Kos sebuah kereta ID 150.000)

Insyaalah kembara yang mendekati alam dan penduduk. Menghayati keindahan alam dari maha pencipta, menikmati keenakkan makanan tempatan. Mengalami kepayahan, keletihan dan kegembiraan. Semuanya terangkum dalam Kembara kami.

Basikal kami dibungkus dan dimasukan ke dalam kotak. Kerja-kerja pembungkusan dilakukan dirumahku sehari sebelum keberangkatan. Kami mendapatkan perkhidmatan  sdr Jamaluddin Syawal bagi menghantar kami  ke  Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang.  Untuk kali ini kami  mendaftar  barangan (luggage) sebanyak 25kg.

Menikmati keindahan alam

merendah pasir yang luas

perit mendorong basikal

hampir bersendiri di kawasan yang sunyi

merentas lembah yang kering

adakalanya terpaksa berhenti

berada di kawasan tanah tinggi

melalui beberapa wisata air terjun

Kerapan Sapi = pertandingan lumba lembu amat popular di Madura

Kembara Bromo: Misteri Lumpur Lapindo

$
0
0

Tarikh  :  24 – 31 Oktober 2015    
Rider    : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman &  Rohizam)
Jarak   :  ± 400 km 
Lokasi  : Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

* Waktu yang dinyatakan disini adalah waktu Malaysia
* Sebahagian gambar adalah dari koleksi Rohizam

Day 2

Malamnya kami memunggah kotak dan memasang basikal dan paginya sebelum check-out kami memohon kepada pengurus hotel untuk menyimpan kotak basikal dan beberapa barangan di tempat khas hotel ini.

PA250100

Seusai doa, kami memulakan kembara pada jam 7.00 pagi dengan mengikuti jalan Panglima Sudirman. Singgah sebentar bergambar diMonumen Buluh Runcing(S7.26773° E112.74433°).

Monumen ini bagi memperingati perjuangan penduduk tempatan yang hanya bersenjatakan buluh melawan kolonialisme Belanda. Tarikh 10 November 1945 adalah peristiwa bersejarahnya dan setiap tahun, 10 November akan dirayakan sebagai Hari Pahlawan.

Lebihkurang 1.5km mengayuh apabila hendak memasukiJalan Raya Darmo(S7.27819° E112.74123°)kami dapati laluan di hadapan dihadang tetapi kenderaan seperti basikal atau pejalan kaki dibenarkan, Oh.. rupanya hari ini adalahHari Bebas Kendaraan Bermotor (HBKB) @ Car Free Day. Patutlah semasa awal kayuhan tadi punya la ramai penunggang basikal berbondong-bondong memotong kami. Punyalah sesak dengan pengunjung. Ada yang berjoging, ada yang menari, berzumba, berbasikal, berniaga, bersosial sesama kelompok. Dari pelbagai peringkat dan usia. Dari pelbagai jenis basikal, lama dan baru. Fuhhh best bahkan ada promosi khas dari Polygon bagi pemilik jenamanya.

Di IndonesiaCar Free Daypertama kali diadakan pada tahun 2000 di kota Surabaya. Ia adalah sebahagian dari kempen kesedaran untuk mempertingkatkan kualiti udara kota. Kempen yang diberi nama"Segar Suroboyoku Rek".

Car Free Day bertujuan untuk menggalakkan masyarakat kota mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kenderaan bermotor. Tema penting dalam hari bebas kendaraan bermotor, adalah tinggalkan kenderaan bermotor dirumah dan berjalan kakilah atau gunakan kenderaan tidak bermotor ataupun menggunakan kenderaan umum untuk perjalanan.


Setelah mengayuh ± 33km, kami sampai ke Porong yang terletak dalam kecamatan Sidoarjo. Disini dapat menyaksikan satu fenomena alam yang menjadikan sebahagian kawasan digenangi dengan lumpur panas dari perut bumi yang disebutLumpur Lapindo(S7.51173° E112.70798°).Banjir lumpur yang menyembur keluar pada 29 Mei 2006  berpunca dari projek carigali(drilling) gas oleh pihak Lapindo Brantas Inc. di Dusun Balongnongo Desa Renokenongo, Kecamatan Porong, Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia. (sumur asal - S7.52654° E112.71037°). Lumpur panas yang masih mengalir keluar sehingga kini telah menenggelamkan  16 desa di 3 kecamatan di Sidoarjo yakni Porong dan kini mencecah keluasan ±650 hektar.

Pihak Kerajaan telah membina tambak khas bagi menahan limpahan lumpur dan mengalirkan air ke sungai Porong. Tambak selebar 15 meter dan sepanjang hampir 10 kilometer dengan ketinggian ± 10 meter. Projek yang dimulakan pada tahun 2011.

± jam 4.00 kami tiba di Bangil dan membuat keputusan untuk berhenti bermalam di pekan ini dan menginap di Anugerah Hotel(S7.60216° E112.79200°) yang selesa biliknya.

Bangil terkenal dengan makanan khas iaitu Nasi Punêl. Nasi Punel adalah sepertimana nasi campur lain namun keistimewaannya adalah pada cara hidangan dan masakan. Dihidangkan bersama daging atau ayam goreng, tempe goreng, sambal potongan kacang panjang mentah yang dicampur dengan sambal pedas buah tomato, sayur nangka muda, serunding dan ada juga otak otak. Makanan ini dialas dengan daun pisang dan rasanya memang sedap.

Di Jalan Raya Darmo – Car Free Day – Pelbagai aksi dan aktiviti

Memperkemaskan jentera

Memasuki kawasan Lumpur – Mengayuh diatas tambak yang dibina bagi mengepong Limpahan Lumpur

Monumen Tragedi Lumpur Lapindo

Antara rumah yang tenggelam dan rosak – banyak lagi kampung dihadapan yang ditinggalkan

Sungai Porong – Air lumpur dialirkan ke sungai ini

Memasuki Pekan Bangil

GOPR3833

Terpaksa berhenti di banyak lokasi

PA250182

Suasana yang panas menyebabkan kami menjadi terlalu dahaga – Disini hujan  sudah lebih dari 5 bulan tidak turun

Berlatarkan Jambatan Kedung Larangan di Bangil

Koh Lanta: Panggilan Pulau

$
0
0

Tarikh : 24 – 27  Disember 2015
Kos    : ± RM1,200.00 (All-in untuk famili 3 Dewasa, 2 Kanak-Kanak)  
Koordinate: N7.64682° E99.03660°
Laluan: TTG - Wang Klian - Chalung – Langu – Thung Wa – Thung Yao – Thung Khai – Trang – Koh Lanta
Jarak : 429 km/995 km

Day 1

Thailand sememangnya mempunyai banyak destinasi menarik. Antara yang menjadi tarikan utama ialah keindahan mukabumi yang unik seperti hutan simpan, air terjun, lanskap pantai, laut dan juga kepulauan sekitarnya. Kunjunganku kali ini adalah ke Koh Lanta yang terletak di bahagian selatan Thailand di dalam wilayah Krabi. Koh Lanta adalah gugusan kepulauan yang mengandungi 52 pulau. Terdapat 2 pulau utama iaitu Koh Lanta Noi (small Lanta) dan Koh Lanta Yai (big Lanta). Koh Lanta Yai dirujuk sebagai Koh Lanta kerana ia adalah pulau yang menjadi tarikan pelancong dan terdapat beberapa pekan yang membangun di situ.

Koh-Lanta-map

Koh Lanta memanjang sejauh ± 30 km dan selebar 6 km, jadi dengan keluasan sebegini kami menjangkakan dapat menghabiskan penjelajahan dalam masa sehari sahaja (insyaallah). Pulau ini majoriti penduduknya adalah muslim, jadi makanan halal bukan satu masalah.

Kembara kami bermula dari Alor Setar pada jam 7.00 pagi dan kali ini aku diiringi oleh adikku dengan sebuah kereta. Jangkaanku untuk sampai ke pintu sempadan pada jam 8.30am tidak kesampaian. Kami tiba pada jam 9.15am, Nah haih .. berjela panjang kereta dan manusia (tak pernah lagi aku tengok pintu sempadan Wang Kelian sebegini ramai), Jam 12.30 tgh baru selesai segala urusan (perghhh … 3 jam masa terbuang). Niatku ku untuk menikmati sarapan moi telur tidak kesampaian.

Koh Lanta map

Perjalanan diteruskan dan singgah seketika di pekan Chalung (N6.72540° E100.06695°) kerana adikku ingin menukar wang, membeli sim kad (Happy Tourist - dengan data sebanyak 1GB) dan sedikit bekalan makanan. Kami kemudiannya belok ke kanan dengan mengambil ‘Highway 416’ yang melalui Langu - Thung Wa – Thung Yao dan dipersimpangan Ban Sam Yaek(N7.19995° E99.68635°) belok ke kanan lagi dan menelusuri ‘Highway 404’ melalui Ban Na – Yan Ta Khao hingga Thung Khai untuk singgah ke Peninsula Botanic Garden(N7.46988° E99.63965°) untuk makan tengahari yang lewat ( jam 3.20 petang) sambil merehatkan badan.

Thung Khai Peninsular Botanic Garden adalah tarikan terbaru disini. Disamping sebuah taman botani ia juga mempunyai muzium tumbuhan dan lain-lain pusat pembelajaran tentang tumbuhan. Tarikan utamanya adalah tree top walksejauh 175 meter dan mempunyai 3 tahap ketinggian iaitu 10, 15 dan 18 meter. Namun masa yang suntuk menyebabkan aku menangguhkan dahulu keinginan untuk berjalan diatas kanopi sampil memerhati pelbagai flora dan fauna. Insyaallah kunjungan berikutnya akan aku realisasikan.

3:50pm kami pun memulakan perjalanan semula, ada lagi 130km perjalanan perlu ditempuhi. Masih mengikuti ‘Highway 404’ menuju ke arah Trang tetapi menyimpang dari memasuki pekan dengan mengikuti ‘Highway 419(Bypass)’, dipersimpangan Na Ta Luang belok kiri mengikuti ‘Highway 403’ kemudian ‘Highway 4158’ , belok kanan mengikuti Highway 4159 dan lebihkurang 600 meter, belok ke kiri mengikuti laluan pintas iaitu Trang 3013 rural road sejauh ± 11km dan masuk ke Highway 4’ sehingga ke persimpangan Hua Nam Khao(N7.86829° E99.16481°) dan belok ke kiri untuk menuju ke Hua Hin Pier(N7.69333° E99.09905°) sejauh ± 28km.

Hua Hin Pier adalah pintu masuk ke Koh Lanta. Perlu menaiki feri ke seberang iaitu ke Koh Lanta Noi. Tiket perlu diambil dahulu disebuah lokasi seperti stesyen minyak, disebelah kiri jalan ± 500 meter sebelum sampai ke jeti. (aku terlajak terus ke jeti dan terpaksa bonceng motor untuk beli tiket). Tiket dibeli untuk 2 perjalanan feri iaitu :-

 

Kereta

Penumpang

Feri 1 : Hua Hin - Khaung Mak

100 Baht

20 Baht

Feri 2 : Langsod - Loduyong

  70 Baht

  3 Baht

* Kanak2 Percuma

 

* Dewasa

Perjalanan feri 1 sejauh ± 2km dan ia seperti feri di Songkhla. Setiap feri boleh memuat ± 30 buah kereta. Hampir 10 minit menunggu untuk perkhidmatan menaiki feri dan perkhidmatan bermula seawal jam 6.00 pagi hingga 11.00 malam.

Tiba di Khaung Mak perlu meneruskan perjalanan lagi sejauh ± 7.5km untuk ke jeti Langsod (N7.64990° E99.04638°)bagi menaiki feri kedua. Jarak perjalanan lebih singkat iaitu ±600 meter sahaja. Berhampiran jeti feri ini sudah ada pembinaan jambatan dengan 2 laluan berkembar dengan lebar 11 meter dan panjang 650 meter. Projek bermula sejak tahun 2012 dan agak perlahan kerana beberapa masalah. Kini kelihatan ada tanda-tanda projek semakin rancak dan dijangka siap pada akhir tahun 2016. Dengan siapnya jambatan ini pembangunan di Koh Lanta akan semakin rancak dan akan bakal menjadi tumpuan pelancong asing dan tempatan.

Kami tiba ke jeti Saladan pada jam 7.05 petang. Membiarkan naluriku mencari hotel yang bersesuaian. DigerakkanNYA aku untuk ke Khlong Dao Beach dan terus ke Lanta Scenic Bungalowe(N7.63773° E99.03089°). Memandangkan hari sudah malam, aku tidak bercadang meronda di pulau ini mencari hotel lainnya dan terus sahaja menginap disini. Harga yang ditawarkan kepada aku sebanyak THB1500.00 selepas berunding aku dapat diskaun yang berbaloi. Terdapat 21 buah chalet dengan senibina ala Thai. Biliknya luas lagi selesa. Dilengkapi dengan kemudahan asas. Ada balkoni dan berhadapan pula dengan kolam mandi. (Apalagi … selepas mendaftar terus sahaja anak-anakku dan anak saudaraku terjun mandi sepuasnya). Jarak dari pantai pun tidak jauh ± 60 meter sahaja. Kami juga terus ‘booking’ dengan pengurus hotel (yang bernama Jack) untuk aktiviti besoknya iaitu 4 islands trip .…

Alhamdulillah – tenang, aman dan di sini tidaklah seperti Krabi/Ao Nang yang dimaklumkan oleh sahabatku sesak dengan pelancong.

Bilik beraircond, dan berlatarkan bukit bukau Koh Lanta. Maklumat lanjut sila KLIK

Malamnya aku ronda ke pekan. Tidak ramai pelancong. Sambutan krismas hari ini kelihatan seperti biasa tetapi kedenganran letupan mercun berselang-selang. Makanan halal mudah diperolehi.

Pantai Klong Dao juga dikenali sebagai ‘Family Beach’ yang sejauh ± 60 meter sahaja dari chalet kami.Pantai ini adalah yang mula sekali dibangunkan di Koh Lanta. Ia sebuah pantai yang memutih pasirnya, laut yang cetek dan memanjang sejauh ± 3km. Lokasi yang menarik untuk bersantai dan melihat matahari terbenam

Diatas feri dari tanah besar ke Koh Lanta Noi sejauh ±2km dan mengambil masa sekitar 35 minit

Menghampiri jeti Khaung Mak di Koh Lanta. Jurumudi sedang mengostan feri!

Bersambung …..


Pautan Kembara Berkaitan

1. Koh Lanta: Day 1
2. Koh Lanta: Day 2
3. Koh Lanta: Day 3
4.

Viewing all 227 articles
Browse latest View live